top of page

Adat Perpatih Keunikan Negeri Sembilan

Negeri Sembilan merupakan sebuah negeri yang dikenali sebagai negeri yang bertradisi dan penuh dengan adat.


Adat Perpatih adalah satu adat dimana ia diamalkan oleh masyarakat Negeri Sembilan. Adat ini tidaklah terlalu kompleks untuk mengamalkannya.


Malahan, ia membantu untuk mengekalkan amalan tradisi yang diamalkan oleh nenek moyang mereka terdahulu.


Adat ini merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal pembahagian harta pusaka, hukum nikah kahwin, sistem penghukuman bagi sesiapa yang melakukan kesalahan sehingga melanggar peraturan adat dan pelbagai aspek lagi.


Sejarah Adat Perpatih


Adat Perpatih ini berkembang apabila ia dibawa oleh orang Minangkabau dari Tanah Tinggi Padang, Sumatera ke Negeri Sembilan pada abad ke-17. Adat Perpatih diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang dari Sumetera. Semua undang-undang Adat Perpatih kecuali undang-undang Sungai Ujong diwarisi secara turun-temurun hingga ke hari ini.

Tambahan lagi, masyarakat Negeri Sembilan mereka dikelaskan mengikut nenek moyang mereka. Pengkelasan ini ia lebih dikenali sebagai suku.


Suku adalah sebuah kelompok anggota masyarakat yang terbentuk daripada kelompok keturunan sebelah ibunya.


Bagi masyarakat adat Perpatih mereka terdiri daripada 12 suku. Antaranya adalah suku Biduanda, Batu Hampar, Mungkal, Sri Lemak, Paya Kumboh, Tiga Nenek, Sri Melenggang, Batu Belang, Tanah Datar, Anak Acheh, Anak Melaka dan Tiga Batu.

Adat Perpatih dan Adat Temenggung

Adat Perpatih dan adat Temenggung, kedua-duanya ada perbezaan di dalam beberapa aspek. Jikalau adat Perpatih hanya berkembang di Negeri Sembilan dan juga Naning, adat Temenggung pula diamalkan di semua negeri-negeri Melayu.


Adat Temenggung diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan, iaitu beliau merupakan abang tiri kepada Datuk Perpatih Nan Sebatang di Palembang.


Adat, ini mula dibawa masuk ke Melaka sejak abad ke-15. Kemudian, adat Temenggung disebarkan ke serata negeri-negeri Melayu dengan bantuan perkembangan Empayar Melaka ketika itu.


Masyarakat yang mengamalkan adat Perpatih ini mereka lebih mengutamakan golongan perempuan.

Sebagai contoh, soal pembahagian harta pusaka. Kesemua harta pusaka yang ditinggalkan akan diwarisi oleh golongan perempuan.


Hal ini bukan untuk menunjukkan golongan lelaki rendah tarafnya dan tidak berhak ke atas harta pusaka tersebut.


Malahan, mereka dianggap suka menggembara ke luar negeri untuk mencari kehidupan yang lebih baik.


Justeru itu, golongan perempuan harus dibekalkan harta pusaka tersebut sebagai nafkah untuk mereka teruskan kehidupan.


Berlainan pula dengan amalan adat Temenggung, mereka akan lebih mengutamakan golongan lelaki.

Misalnya, dalam soal perwarisan harta, lelaki yang akan mewarisi harta tersebut iaiu dari ayah akan turun kepada anak lelaki mereka.

Adat Perpatih pada hari ini


Saya sebagai anak jati Negeri Sembilan juga masih belum sepenuhnya mengenali adat Perpatih ini. Namun, saya berusaha untuk mengetahuinya.dengan bertanya kepada ibubapa saya mengenai latar belakang keturunan keluarga saya.


Saya juga ada menggunakan laman sesawang untuk mengetahui asal-usul sejarah terjadinya adat Perpatih ini.


Sememangnya adat Perpatih hari ini semakin kurang diamalkan oleh generasi baru. Hanya sesetengah daerah di Negeri Sembilan ini yang masih kuat pengikutnya terhadap adat ini seperti Rembau, Jelebu dan Kuala Pilah. Bagi daerah Port Dickson mereka lebih mengikut adat Temenggung.


Justeru itu, saya menyarankan bahawa peranan ibubapa amat penting dalam mengekalkan adat Perpatih ini terhadap anak-anak mereka.

Generasi baru ini perlu didedahkan dan diberi pendekatan berkenaan adat Perpatih. Hal ini supaya ia masih dapat dikekalkan dalam kehidupan dan tidak dilupakan apa yang diwarisi oleh nenek moyang mereka terdahulu.


Sebagai langkah, ibubapa perlu membawa anak-anak mereka pulang bersama ke kampung halaman. Dengan itu, mereka dapat meluangkan masa untuk berbual bersama nenek dan datuk mereka.


Secara tidak langsung, mereka akan mengetahui serba-sedikit malah keseluruhan tentang sejarah asal-usul keturunan keluarga mereka.


Pihak kerajaan Negeri Sembilan juga perlu mengambil langkah untuk menyemaikan perasaan ingin tahu tentang adat Perpatih dalam kalangan remaja.


Sebagai contoh, pihak kerajaan mengadakan seminar ataupun kempen berkaitan adat Perpatih dimana ia dapat membincangkan lebih mendalam berhubung tentang adat tersebut.


Kesimpulannya, adat Perpatih yang diamalkan oleh masyarakat Negeri Sembilan merupakan suatu adat yang agak berbeza jika dibandingkan dengan adat yang diamalkan di negeri-negeri lain. Adat Perpatih ini juga mempunyai keunikannya tersendiri kerana setiap peraturan di dalam adat ini wujudnya falsafah yang tersirat.

Featured Posts
Recent Posts
Follow Us
No tags yet.
Search By Tags
Archive
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page